Sudah lama saya membuat penelitian dan sehingga kini saya masih belum mendapat jawapan yang munasabah dan masih berfikir kenapa perbezaan yang sedemikian boleh berlaku.
Sebenarnya, bukan kakitangan kerajaan sahaja yang menyumbangkan tenaga untuk ekonomi negara, kami kakitangan swasta juga turut memainkan peranan penting untuk bersama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Apakah sumbangan kami tidak dihargai atau apakah kami dianggap bekerja sambil lewa dan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan untuk negara?
Saya ingin berkongsi pengalaman. Baru-baru ini saya telah berkunjung ke beberapa buah bank dengan tujuan untuk membuat pinjaman peribadi. Setelah mendengar beberapa syarat yang dikenakan, saya pun melangkah keluar dengan perasaan hampa dan kecewa.
Salah satu syarat yang dikenakan adalah pinjaman tersebut hanya disediakan untuk kakitangan kerajaan sahaja. Kalau ada pun peluang untuk pekerja swasta, minimum gaji yang diperlukan adalah terlalu tinggi.
Misalnya jika kakitangan kerajaan, memadai dengan pendapatan bulanan sebanyak RM800 sedangkan pekerja swasta perlu berpendapatan RM3,000. Kalau saya sudah berpendapatan RM3,000 sebulan, buat apalah saya hendak memohon pinjaman peribadi lagi?
Saya faham kakitangan kerajaan punyai pekerjaan yang tetap sedangkan pekerja swasta boleh berhenti dan bertukar-tukar majikan sesuka hati mereka. Tetapi sepatutnya pihak bank turut mengambil kira tempoh lama pekerja swasta tersebut berkhidmat di sesebuah syarikat.
Rasanya tidak munasabah sekiranya pekerja swasta yang berkhidmat melebihi 10 tahun akan berhenti sesuka hati tanpa alasan. Adakah pihak bank berpendapat kesemua pekerja swasta memperolehi pendapatan melebihi RM1,000 sebulan?
Saya berharap sangat agar pihak bank dapat melonggarkan sedikit syarat-syarat yang dikenakan. Saya ingin membuat pinjaman peribadi kerana saya menghadapi masalah kewangan dan saya telah berkhidmat di syarikat yang sama selama 20 tahun. Saya rasa inilah salah satu sebab kenapa 'ah long' masih menjadi pilihan.
Kalau hendak dihuraikan satu persatu, memang terlalu banyak keistimewaan diberikan kepada kakitangan kerajaan, misalnya faedah yang dikenakan untuk membeli kenderaan terlalu rendah.
Saya sendiri pernah menggunakan nama kakak saya yang bekerja dengan kerajaan untuk membeli kenderaan hanya kerana faedah yang dikenakan terlalu rendah.
Bayaran penginapan di hotel-hotel juga jauh lebih murah untuk kakitangan kerajaan berbanding kami yang bekerja di sektor swasta.
Kenapa kami terlalu dibezakan dengan mereka? Apa istimewanya mereka yang hanya beberapa jam bekerja berbanding kami yang bekerja tidak mengira masa? Atau mungkin kerana mereka, kakitangan kerajaan maka sudah pasti mereka yang menyokong kerajaan?
Terimalah kenyataannya, bukan semua kakitangan kerajaan yang menyokong kerajaan malah ada segelintir daripada mereka ini sanggup berkempen secara senyap-senyap untuk menjatuhkan kerajaan.
Percaya atau tidak, ramai yang memangkah parti pembangkang adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan, buatlah semakan di Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekiranya memerlukan bukti. Jika tanpa bantuan daripada pekerja-pekerja di sektor swasta, belum tentu kerajaan Barisan Nasional boleh menerajui negara seperti sekarang.
Saya benar-benar tidak faham dengan golongan anti kerajaan BN tetapi masih mengharapkan bantuan kerajaan pimpinan parti itu.
Rakyat Malaysia terlalu manja, semuanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Bila sudah diberi bantuan, bukan hendak bersyukur, malah ada sahaja yang masih tidak kena.
Yang paling menyakitkan hati, golongan anti kerajaan ini dalam senyap-senyap cuba mempengaruhi orang ramai tetapi apabila kerajaan memberikan kenaikan gaji, elaun, subsidi atau sebagainya, golongan inilah yang tidak sabar-sabar menuntutnya.
Bukan maksud saya untuk mengkritik kakitangan kerajaan kerana saya tahu masih ramai antara mereka yang berkhidmat dengan penuh amanah dan dedikasi.
Cuma saya berharap sangat supaya kami tidak dipinggirkan. Janganlah kami dianaktirikan hanya kerana kami bekerja di sektor swasta.
Walaupun kami bukan kakitangan kerajaan, tidak bermakna kami bukan penyokong kerajaan.
Berikan sedikit keistimewaan kepada kami juga.
link>http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0608&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment