Friday, November 4, 2011

Bila Ku Letih Dan Hilang Semangat


Bila ku letih dan hilang semangat, 
Allah tahu bertapa ku telah mencuba sedaya upaya... 
Bila tangisku berpanjangan dan hatiku kedukaan, 
Allah telah mengira titisan air mataku, 
Bila ku rasa ketinggalan dan masa meninggalkanku, 
Allah setia di sisimu, 
Bila ku telah mencuba segalanya tapi tidak tahu tujuan,
Allah ada jalan penyelesaiannya... 
Bila tiada yang bererti buatku, keliru dan kecewa, 
ALLAH adalah Jawapannya..."

Wednesday, March 16, 2011

Coretan buat bonda

Bonda…
Tangisku tatkala mengucupi jemarimu
Gementar bibirku mengucap kemaafan
Linangan airmata tanda kasih sayangmu

Bonda…
Sedarku kini betapa kasihmu abadi
Suci,murni tinggi nilainya
Tak terhingga….

Bonda…keringat yang mengalir
tatkalamu mencari rezeki
Akanku balas dengan pengorbananku
Akanku semai peribadi mulia
Agar diriku tinggi dimata masyarakat

Bonda…
Belum masanya anakmu berbakti tinggi
Kiniku dalam pelayaran
Menuju destinasi jaya
Rintangan dijalanan
Akan anakmu lalui dengan tabah
Agar bahagia dan jaya milik kita

Bonda…
Doalah kejayaan anakmu
Doamu bonda kukenangi…

Thursday, May 27, 2010

Teman Maafkan Aku..

Teman-temanku,
Maafku hulurkan padamu andai ada kesilapan yang telahku lakukan dengan sedar atau sebaliknya. Andai ada bahasa yang kututurkan melukakan hatimu. Andai ada tingkahlaku yang sumbang di matamu. Andai ada luahan rasaku yang meresahkan dirimu. Kita pernah rasa kasih mengasihi walaupun hanya di dalam hati. Tersimpan kemas di dada, terukir manis di ingatan. Tapi itu realiti yang harus kita akui hakikatnya. Kita boleh menipu berjuta-juta manusia tapi kita takkan boleh menipu diri sendiri.
Teman-temanku,
Sesungguhnya masa menemukan kita di dunia fana. Mungkinkah masa juga memisahkan kita. tak perlu lagi kita bersua. biarlah masa juga yang menentukan kemana arah tujuan kita. Biarlah aku sendiri meyusuri denai-denai indah ini. Bagiku saat ini ku tak perlukan sesiapa untuk mendampingi diri ini. Buat Teman-teman ku, maafkan aku...ku tak mahu lagi mengimbau kenangan indah masa silam. Biarlah ianya menjadi satu lipatan sejarah indah yang terkunci rapi.
Teman-temanku,
Andai kau terlihat aku menyusuri denai suram itu, biarkanlah kerana aku ingin berdikari dan mencari arahku sendiri. Seandainya esok ku telah pergi jauh dari mu, tak perlulah dikenangkan aku dalam doamu. Mungkin Tuhan yang tahu apa yang aku lakukan.
Sekali lagi..Maafkanlah aku teman-temanku.. Maafkan aku atas segalanya.

Tuesday, January 5, 2010

Selamat Tahun Baru 2010..

Tahun baru menjelang sudah...maka berakhirlah tahun 2009. Suka duka tahun 2009 sudah dirasa. Tercapai atau tidak azam lama bukan satu persoalan lagi kerana tahun baru sudah menjengah sudah. Kita bina azam baru di tahun baru. Lupakan segala - galanya kenangan yang lama. Binalah semula azam baru..Hidup mesti diteruskan..kita di cipta tuhan untuk menjadi khalifahnya. Beramal dan berdoalah agar kita menjadi insan yang sentiasa mendapat keredhaan-Nya.

Friday, June 26, 2009

Saat Ini Mengusik Jiwa...



Sesekali imbas lakaran ini mengenang kembali kepada kenangan silam. Saat indah di di usia menjangkau remaja. Memori indah terpahat di hati meungkit seribu erti. Saat ini kita bagaikan tercari - cari dimana jalan harus di tempuhi. Kita dibelai manja di lontar kasih dan sayang dari ayah dan bonda. Saat itu kita adalah raja yang tak punya takhta. Kitalah kebanggaan keluarga. Kini kita telah dewasa sudah punya jalan cerita yang harus dicorak untuk mengapai masa hadapan.
Tika aku minta bantuan, Tuhan beriku peluang kerana melaluinya aku mula mencuba. Tika aku minta kejayaan, aku diberi kegagalan.Kerana melaluinya aku membaiki kesilapan.Tika aku minta kekuatan, Tuhan berikan kesukaran.Kerana melaluinya ,aku membina kekentalan diri dan tika ku minta ketabahan, Tuhan beriku rintangan, kerana melaluinya aku teruji. Betapa berharga segala yang ku alami, kerana Tuhan tak memberi apa yang ku minta tapi aku menerima segala yang ku perlukan. Itulah bahasa Yang Maha Esa...

Thursday, June 11, 2009

Jangan Pertikai Kuasa Agong, Raja Melayu

Sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menegaskan, perkara yang termaktub dalam kedua-dua perlembagaan itu adalah persetujuan yang dicapai secara bersama ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Titah baginda, ia dicapai dalam semangat memberi dan menerima serta memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum.

''Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu.

''Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Wacana Ilmu sempena ulang tahun baginda yang ke-81 di Institut Tadbiran Islam Perak di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan kepada para pemimpin negara bahawa mereka mempunyai tanggung jawab politik dan tanggung jawab kenegaraan.

''Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,'' titah baginda.

Titah Sultan Azlan, penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa sama, titah baginda, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

''Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah, amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Dalam pada itu, baginda menyuarakan rasa bimbang mengenai perubahan sikap terhadap insan berilmu, cerdik pandai dan profesional yang jumlahnya makin bertambah tetapi tidak mempunyai sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang merupakan elemen penting mewujudkan kestabilan.

''Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersenda secara terbuka.

''Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian.

''Atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga alpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titah baginda.

Titah baginda, ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.

Justeru, baginda berharap agar komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.

Oleh ZAINI RABAN
pengarang@utusan.com.my
Copyright@Utusan Malaysia